Sunnah Siwak – Siwak sebagai peneman Nabi SAW
· Rasulullah SAW datang kepada manusia, dengan perkara-perkara yang tidak mereka ketahui daripada amalan kebersihan. Antara perkara yang telah diajarkan kepada manusia ialah bersiwak.
·
Bersiwak adalah Sunnah yang mudah, namun
pahalanya, kesannya dan faedahnya sangat besar.
·
Antara faedah siwak yang agung dalam aspek
keduniaan dan pancaindera ialah ia dapat membersihkan gigi dan memutihkannya,
menguatkan gusi, menghilangkan kaviti dan menjauhkan dari bakteria serta
memberi manfaat untuk perut dan akal.
·
Bahkan Nabi SAW menyebutkan bahawa antara
faedah maknawinya ialah ia dapat menghalau syaitan. Mereka yang mempunyai siwak maka syaitan akan
lari daripadanya. Ia juga dapat menggandakan
pahala dan kebaikan.
·
Ia juga dapat menolong dalam ucapan syahadah
pada saat kematian iaitu ia merupakan satu sebab ‘husnul khotimah’. Antara faedah siwak yang besar ialah siwak
menyebabkan keredhaan Allah SWT seperti yang telah disabdakan Nabi SAW : Siwak
ialah keredhaan Allah, membersihkan mulut dan di dalam riwayat lain siwak
menghalau syaitan.”
·
Maka segelintir sahabat merasa kagum bagaimana
kayu yang digunakan untuk membersihkan gigi merupakan sebab keredhaan Allah. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjalinkan
antara amalan seharian kita yang berfaedah bagi kebersihan dan kesihatan kita,
dengan perkara utama bahkan perkara yang paling tinggi iaitu redha Allah SWT.
·
Disunnahkan penggunaan siwak melebihi 20 kali
sehari. Antara perkara penting ialah
mengetahui tujuan siwak ialah membersihkan mulut dan gigi serta menyegarkan
nafas. Ia boleh dicapai dengan sebarang
alat, namun cara yang paling baik dan utama adalah yang diajarkan oleh Nabi SAW
iaitu kayu arak yang merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW, kerana ia
mempunyai bahan yang membersihkan dan menyahkuman dan bermanfaat untuk semua
bahagian mulut, gigi, gusi dan sebagainya.
·
Namun, jika manusia tidak menemui kayu ini maka
dibolehkan dengan kulit batang kurma, dengan batang pokok raihan atau apa-apa
batang yang mempunyai bau yang wangi dan juga boleh menggunakan berus dan ubat
gigi seperti yang digunakan pada hari ini.
·
Nabi SAW bersabda : Jika tidak memberati
ummatku, maka aku akan mewajibkan siwak dengan wudhu. Rasulullah SAW mempunyai kaedah dalam
menggunakan siwak. Jika kita bersiwak
mengikut kaedah Rasulullah SAW, kita akan melakukan banyak Sunnah yang terhimpun
dalam satu Sunnah lalu beroleh ganjaran yang banyak, serta memperoleh banyak
faedah dari segi kesihatan dan akhirat.
Maka disunnahkan memegang siswak seperti yang diajarkan oleh para ‘ulama’
dan Rasulullah (SAW).
·
Disunnahkan siwak dipegang di antara jari
kelingking dan ibu jari dan di atas jari-jari selainnya. Kemudian disunnahkan sebelum menggunakan
siwak agar mencucinya dan melembutkannya dengan air. Kemudian mulakan siwak dari sebelah kanan dan
dari bahagian atas. Maka mulakan dari
bahagian atas ke bawah dan menggerakkan siwak dalam bentuk bulatan. Kemudian lalukan ia bahagian atas gigi
kemudian bahagian belakang gigi.
Disunnahkan juga menyapu lidah dan lelangit dengan siwak 3 kali.
·
Rasulullah SAW mengajar kita untuk menggunakan
siwak secara melintang. Ada di antara
manusia yang mempunyai sesuatu di celahan giginya, dengan itu, Rasulullah SAW
memberitahu kita akan Sunnah ‘Tahlil’ (Menyelati). Jika seseorang ingin bersiwak, sebaik-baiknya
kita mencungkil gigi dengan ‘floss’ sekiranya terdapat sesuatu di
celah-celahnya.
·
Apabila selesai bersiwak, disunnahkan
mencucinya dari kesan air liur. Maka ini
merupakan kaedah yang baik dalam menggunakan siwak. Jika seseorang beramal dengannya, ia akan
beroleh banyak kebaikan dan dia mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.
·
Kajian membuktikan bahawa kayu Arak mempunyai
kelebihan yang besar berbanding teknologi terkini. Rasulullah SAW sangat mementingkan siwak
sehinggakan beliau tidak pernah meninggalkannya semasa musafir atau tidak,
sehinggakan Baginda melantik Abdullah Bin Mas’ud dalam kesibukan dan
pekerjaanya, sebagai pemegang siwak Rasulullah SAW.
·
Nabi SAW menggunakan siwak dalam banyak keadaan
namun antara keadaan yang terpenting ialah sebelum berwudhu’ dan sebelum
solat. Kerana Rasulullah SAW telah
bersabda kepada kita, “Jika aku tidak memberati ummatku, nescaya aku wajibkan
siwak ke atas mereka setiap kali sebelum wudhu’. Dalam riwayat lain, “Setiap kali sebelum
solat”.
·
Namun siwak disunnahkan dalam banyak keadaan,
semasa keluar rumah dan semasa masuk ke dalamnya, semasa bangun dari tidur dan
hendak tidur, semasa bau mulut berubah, semasa membaca al-Quran.
·
Apa yang penting siwak disunnahkan dalam banyak
keadaan bahkan dalam keadaan yang penting. Antara kejadian penting yang menunjukkan
kedudukan siwak di sisi Rasulullah SAW ialah seperti yang dikhabarkan oleh
Saidatina Aisyah semasa saat kewafatan Rasulullah, roh Baginda akan keluar
sedang Baginda bersandar di atas dadanya (Aisyah). Beliau berkata “Aku melihat Baginda melihat ke
arah siwak di atas lantai”. Maka aku
mengambilnya dan menggigitnya supaya ia lembut dengan air liurku. Kemudian aku memberikan ia kepada Nabi SAW
untuk bersiwak dengannya.
·
Beliau berbangga kerana perkara terakhir yang
masuk ke dalam mulut Nabi SAW ialah air liurnya. Begitu juga siwak, ia layak berbangga kerana
alat terakhir yang masuk ke dalam Baginda ialah siwak. Dan bagi Sunnah yang agung ini, jika siwak
tidak mempunyai nilai lain kecuali kedudukannya semasa kewafatan Nabi, cukuplah
bagi kita untuk tidak meninggalkan siwak sehingga ke akhir hayat kita, dalam
merealisasikan maksud ‘mengikut Nabi’ yang ditunjukkan dalam firman Allah “Katakanlah
(Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai
Allah”.
No comments:
Post a Comment