Saturday, June 4, 2016

Sunah Azan & Iqomah

Sunah Azan & Iqomah
  • Azan merupakan suara yang menghalau syaitan.  Semasa Nabi SAW ingin mencari cara untuk memanggil manusia solat, Nabi SAW telah berbincang dengan para sahabatnya.  Maka sebahagian sahabat telah memberi beberapa cadangan.  Seorang sahabat telah mencadangkan azan, maka Rasulullah SAW telah bersetuju dengannya. 
  • Azan mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama kita iaitu syiar Islam di negara Islam.  Allah SWT memuji para muazzin.  Allah SWT berfirman : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya selain mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal yang soleh”.
  • Nabi SAW bersabda, “Para muazzin mempunyai leher paling panjang pada hari kiamat”.  Muazzin mempunyai kedudukan yang tinggi kerana dia adalah penolong Allah SWT dalam menyeru manusia ke hadratNya dan pintu rahmatNya yang Maha Agung.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita tentang amal terbesar, dan hendaklah manusia berlumba-lumba mendapatkannya.  Baginda SAW bersabda, “Jika manusia mengetahui ganjaran pada saf pertama dan seruan azan, kemudian mereka tidak mendapatkannya melainkan dengan undian, maka mereka akan melakukan undian”.
  • Manusia hendaklah mendahulukan bersegera dalam menggapai fadhilat azan.  Dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, bahawa sesiapa yang melaungkan azan, maka apa sahaja yang mendengarnya dari kalangan manusia, jin dan apa sahaja batu atau lumpur melainkan mereka akan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.  Dengan itu, manusia hendaklah melaungkan azan di rumahnya, jika dia tidak mendengar azan.  Jika dia di padang pasir, maka ucapkanlah azan, sehingga dia memperolehi ganjaran azan yang besar di mana Allah memuji ahli-ahlinya.
  • Adab-adab seorang muazzin/bilal – Antara adab yang penting bagi seorang muazzin ialah dia seorang yang bertaqwa dan baik serta seorang yang boleh dipercayai.  Dan dengan itu, hendaklah dia menghadap kiblat dan bersuci semasa melaungkan azan.  Dan bagi azan itu sendiri, disunnahkan ia dilaungkan dengan jelas dan menguatkan suaranya semasa azan dan berdiri di tempat yang tinggi.  Pada hari ini, kita menggunakan pembesar suara.
  • Kemudian meletakkan jari-jari di telinganya semasa azan dan melaungkan azan dengan lafaz yang diketahui dan masyhur, “Allahu Akbar” sehingga ke akhirnya.  Dengan itu, disunnahkan berpaling pada lafaz “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah”, berpaling ke kanan dan ke kiri. Dan disunnahkan bagi muazzin ‘at-tarji’.  At-tarji’ selepas melafazkan dua takbir yang pertama, mengucapkan syahadah kepada dirinya sendiri “Asyahadualla ilaha illallah” 2 kali dan “Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah” 2 kali.  Selepas itu, barulah dia melafazkan syahadah empat kali dengan suara yang kuat.
  • Bagi solat subuh, disunnahkan “taswib” dengan lafaz “As-solatu khairumminannaum” 2 kali.  Sunnah-sunnah yang penting ini perlu diamalkan semasa azan.  Disunnahkan bagi muazzin berdiri semasa azan dan memanjangkan lafaz azan semasa azan manakala semasa iqamah memendekkan dan mempercepatkan lafaz iqamah.
  • Manakala bagi kaum wanita, wanita dibolehkan iqamah di kalangan wanita sahaja tanpa kehadiran lelaki.  Namun tidak disunnahkan wanita melaungkan azan selama-lamanya.  Nabi SAW bersabda : Jika kamu mendengar azan maka sahutlah ia!.
  • Sayyidah Aisyah berkata, Nabi SAW ketawa dan berbual mesra dengan kami sehinggalah apabila datang waktu solat dan Nabi SAW mendengar azan, Nabi SAW seolah-olah tidak mengenali kami atau kami tidak mengenalinya iaitu Nabi SAW meninggalkan segala kesibukkannya dan Nabi SAW bersedia untuk solat.
  • Maka apabila kita mendengar seruan muazzin, kita hendaklah bersedia untuk solat dan meninggalkan segala kesibukkan kita di dalam perbualan, penulisan, pekerjaan sehinggakan ketika membaca al-Quran hendaklah kita meninggalkan segala urusan, kerana ini merupakan seruan Allah melalui lisan penolongNya iaitu Muazzin.
  • Kemudian disunnahkan melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin.  Sesungguhnya Nabi SAW mengkhabarkan “Sesiapa yang  melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin dengan sepenuh hatinya, maka dia akan masuk syurga”  Dalam riwayat lain, “Dia akan mendapatkan syafaatku.”  Disunnahkan menjawab selepas Muazzin semasa lafaz “Asyhadu anna Muhammadarrasulullah” Ucapkanlah “Ana Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, Rodhitu billahi Rabban wabil islami diina wa bi Muhammadin Nabiyyan.”  Begitu juga, apabila dilaungkan “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah” Ucapkanlah “Laa hawla walaa quwwata illaa billahil ‘aliyyul ‘adzim”.  Semasa azan subuh, muazzin melaungkan “Assolatu khairum minannaum” jawablah “Sodaqta wabararta wabilhaqqi nataqta dan selepas azan disunnahkan berselawat ke atas Nabi SAW kemudian berdoa dengan doa yang diminta oleh Nabi SAW اللهمَّ ربَّ هذهِ الدعوةِ التامَّةِ ، والصلاةِ القائمةِ ، آتِ محمدًا الوسيلةَ والفضيلةَ ، وابعثْهُ مقامًا محمودًا الذي وعدْتَهُ
  • Wahai tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji kepadanbi Muhammad dan bangkitkanlah Baginda pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan.  Kemudian berdoa dengan doa yang kamu sukai. Maka sesiapa yang berdoa dengan doa ini Allah akan memuliakannya dengan berita gembira dari Rasulullah SAW dia layak mendapatkan syafaatku.  Maka ini adalah wasilah melalui doa untuk Rasulullah SAW agar kita mendapat syafaatnya pada hari kiamat.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak.  Makai a merupakan antara waktu yang penting bagi seorang mukmin untuk menyibukkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mendengarkan azan memberikan kerehatan dan melindungi dari bala.  Nabi SAW memberitahu apabila syaitan mendengar azan, ia lari sambil terkentut-kentut iaitu syaitan melarikan diri semasa azan kerana ia membakar dan menyakitinya.
  • Azan merupakan antara nikmat Allah kepada kita.  Ketika manusia mendengar azan yang bergema dari menara-menara orang islam dia merasa kerehatan dan ketenangan dan melindunginya dari bala. Maka azan terikat dengan syiar Islam, terikat dengan syiar Islam yang teragung dan terikat dengan Nabi SAW.  Alangkah baiknya ketika kita mendengar azan, kita membayangkan bagaimana Nabi SAW mendengarnya dan menghadap Allah SWT sehingga ia menjadi penyambung antara kita dalam menyegerakan solat seperti bersegeranya Rasulullah SAW dalam dalam menunaikan solat.  Maka kita benar-benar mengikut Nabi SAW di dalam amalan yang paling baik dengan sebaik-baik ciptaan iaitu Nabi SAW.  Justeru, kita akan memperolehi nilai dari firman Allah SWT “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. 

No comments:

Post a Comment