Sunday, June 5, 2016

Sunnah Siwak

Sunnah Siwak – Siwak sebagai peneman Nabi SAW

·         Rasulullah SAW datang kepada manusia, dengan perkara-perkara yang tidak mereka ketahui daripada amalan kebersihan.  Antara perkara yang telah diajarkan kepada manusia ialah bersiwak.

·         Bersiwak adalah Sunnah yang mudah, namun pahalanya, kesannya dan faedahnya sangat besar.

·         Antara faedah siwak yang agung dalam aspek keduniaan dan pancaindera ialah ia dapat membersihkan gigi dan memutihkannya, menguatkan gusi, menghilangkan kaviti dan menjauhkan dari bakteria serta memberi manfaat untuk perut dan akal.

·         Bahkan Nabi SAW menyebutkan bahawa antara faedah maknawinya ialah ia dapat menghalau syaitan.  Mereka yang mempunyai siwak maka syaitan akan lari daripadanya.  Ia juga dapat menggandakan pahala dan kebaikan. 

·         Ia juga dapat menolong dalam ucapan syahadah pada saat kematian iaitu ia merupakan satu sebab ‘husnul khotimah’.  Antara faedah siwak yang besar ialah siwak menyebabkan keredhaan Allah SWT seperti yang telah disabdakan Nabi SAW : Siwak ialah keredhaan Allah, membersihkan mulut dan di dalam riwayat lain siwak menghalau syaitan.”

·         Maka segelintir sahabat merasa kagum bagaimana kayu yang digunakan untuk membersihkan gigi merupakan sebab keredhaan Allah.  Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjalinkan antara amalan seharian kita yang berfaedah bagi kebersihan dan kesihatan kita, dengan perkara utama bahkan perkara yang paling tinggi iaitu redha Allah SWT.

·         Disunnahkan penggunaan siwak melebihi 20 kali sehari.  Antara perkara penting ialah mengetahui tujuan siwak ialah membersihkan mulut dan gigi serta menyegarkan nafas.  Ia boleh dicapai dengan sebarang alat, namun cara yang paling baik dan utama adalah yang diajarkan oleh Nabi SAW iaitu kayu arak yang merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW, kerana ia mempunyai bahan yang membersihkan dan menyahkuman dan bermanfaat untuk semua bahagian mulut, gigi, gusi dan sebagainya.

·         Namun, jika manusia tidak menemui kayu ini maka dibolehkan dengan kulit batang kurma, dengan batang pokok raihan atau apa-apa batang yang mempunyai bau yang wangi dan juga boleh menggunakan berus dan ubat gigi seperti yang digunakan pada hari ini.

·         Nabi SAW bersabda : Jika tidak memberati ummatku, maka aku akan mewajibkan siwak dengan wudhu.  Rasulullah SAW mempunyai kaedah dalam menggunakan siwak.  Jika kita bersiwak mengikut kaedah Rasulullah SAW, kita akan melakukan banyak Sunnah yang terhimpun dalam satu Sunnah lalu beroleh ganjaran yang banyak, serta memperoleh banyak faedah dari segi kesihatan dan akhirat.  Maka disunnahkan memegang siswak seperti yang diajarkan oleh para ‘ulama’ dan Rasulullah (SAW).

·         Disunnahkan siwak dipegang di antara jari kelingking dan ibu jari dan di atas jari-jari selainnya.  Kemudian disunnahkan sebelum menggunakan siwak agar mencucinya dan melembutkannya dengan air.  Kemudian mulakan siwak dari sebelah kanan dan dari bahagian atas. Maka mulakan  dari bahagian atas ke bawah dan menggerakkan siwak dalam bentuk bulatan.  Kemudian lalukan ia bahagian atas gigi kemudian bahagian belakang gigi.  Disunnahkan juga menyapu lidah dan lelangit dengan siwak 3 kali.

·         Rasulullah SAW mengajar kita untuk menggunakan siwak secara melintang.  Ada di antara manusia yang mempunyai sesuatu di celahan giginya, dengan itu, Rasulullah SAW memberitahu kita akan Sunnah ‘Tahlil’ (Menyelati).  Jika seseorang ingin bersiwak, sebaik-baiknya kita mencungkil gigi dengan ‘floss’ sekiranya terdapat sesuatu di celah-celahnya. 

·         Apabila selesai bersiwak, disunnahkan mencucinya dari kesan air liur.  Maka ini merupakan kaedah yang baik dalam menggunakan siwak.  Jika seseorang beramal dengannya, ia akan beroleh banyak kebaikan dan dia mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.

·         Kajian membuktikan bahawa kayu Arak mempunyai kelebihan yang besar berbanding teknologi terkini.  Rasulullah SAW sangat mementingkan siwak sehinggakan beliau tidak pernah meninggalkannya semasa musafir atau tidak, sehinggakan Baginda melantik Abdullah Bin Mas’ud dalam kesibukan dan pekerjaanya, sebagai pemegang siwak Rasulullah SAW.

·         Nabi SAW menggunakan siwak dalam banyak keadaan namun antara keadaan yang terpenting ialah sebelum berwudhu’ dan sebelum solat.  Kerana Rasulullah SAW telah bersabda kepada kita, “Jika aku tidak memberati ummatku, nescaya aku wajibkan siwak ke atas mereka setiap kali sebelum wudhu’.  Dalam riwayat lain, “Setiap kali sebelum solat”.

·         Namun siwak disunnahkan dalam banyak keadaan, semasa keluar rumah dan semasa masuk ke dalamnya, semasa bangun dari tidur dan hendak tidur, semasa bau mulut berubah, semasa membaca al-Quran.

·         Apa yang penting siwak disunnahkan dalam banyak keadaan bahkan dalam keadaan yang penting.  Antara kejadian penting yang menunjukkan kedudukan siwak di sisi Rasulullah SAW ialah seperti yang dikhabarkan oleh Saidatina Aisyah semasa saat kewafatan Rasulullah, roh Baginda akan keluar sedang Baginda bersandar di atas dadanya (Aisyah).  Beliau berkata “Aku melihat Baginda melihat ke arah siwak di atas lantai”.  Maka aku mengambilnya dan menggigitnya supaya ia lembut dengan air liurku.  Kemudian aku memberikan ia kepada Nabi SAW untuk bersiwak dengannya.

·         Beliau berbangga kerana perkara terakhir yang masuk ke dalam mulut Nabi SAW ialah air liurnya.  Begitu juga siwak, ia layak berbangga kerana alat terakhir yang masuk ke dalam Baginda ialah siwak.  Dan bagi Sunnah yang agung ini, jika siwak tidak mempunyai nilai lain kecuali kedudukannya semasa kewafatan Nabi, cukuplah bagi kita untuk tidak meninggalkan siwak sehingga ke akhir hayat kita, dalam merealisasikan maksud ‘mengikut Nabi’ yang ditunjukkan dalam firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”.

Sunnah Pakaian

Sunnah Pakaian

• Nabi SAW seorang yang indah dan cantik serta baginda indah dalam setiap aspek. Antara keindahan Nabi SAW ialah adabnya dengan pakaiannya.

• Baginda SAW menyukai warna putih dan juga warna hijau. Nabi SAW memakai pakaian berbelang merah dan hijau. Nabi SAW juga memakai warna hitam. Nabi SAW memakai serban, songkok dan kopiah. Nabi SAW memakai gamis dan gamis yang paling disukai Nabi SAW ialah baju (jubah). Ini merupakan baju yang paling disukai Nabi SAW. Nabi SAW juga memakai ‘hullah’ iaitu potongan selendang dan kain.

• Seorang sahabat telah berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang memakai hullah merah di malam yang gelap lebih indah dari Rasulullah SAW”.

• Nabi SAW juga memakai jubah dan menutup kepalanya dengan selendang. Beginilah keadaan Nabi SAW dan Nabi SAW mempunyai adab dengan pakaiannya.

• Nabi SAW memakai pakaian, baju dan seluar bermula dari sebelah kanan sebelum sebelah kiri dan menyebut nama Allah SWT (membaca basmalah).

• Baginda SAW membaca doa ketika memakai pakaian,
الحمد الله الذي كساني هذا ورزقنيه من غير حول مني ولا قوة
“Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku pakaian ini dan memberiku rezeki tanpa daya dan kekuatan dariku”

• Jika pakaian itu baru, Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan kebaikan padanya dan menjauhkan ia dari keburukan. Apabila Nabi SAW berjumpa dengan mereka yang memakai baju baru Nabi SAW berdoa kepadanya
البَس جديدًا وعِش حميدًا ومِت شهيدًا
“Pakailah pakaian baru, hiduplah dengan kemuliaan dan matilah sebagai syahid.

• Beginilah sifat Rasulullah SAW, semua perkara ini adalah untuk menunaikan perintah Allah SWT kerana manusia memakai pakaian untuk menutup auratnya dan sebagai perhiasan. Seperti yang telah diperintahkan Allah di dalam firmanNya, “Kami telah menurunkan pakaian untuk menutup auratmu” (al-A’raf : 26). Allah SWT telah berfirman, “Pakailah pakaianmu yang indah setiap kali ke masjid” (al-A’raf : 31).

• Maka manusia berhias dengan pakaian yang baik tanpa berbangga-bangga dan bermegah-megah. Nabi SAW berjumpa dengan seorang yang berpakain lusuh. Nabi SAW bertanya, “Adakah engkau tidak mempunyai harta? Jawabnya, “Ya, aku mempunyai harta.” “Maka mengapa engkau tidak menzahirkan nikmat Allah kepadamu? “Dan dengan nikmat Allah, maka ceritakanlah”. Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan nikmatNya ke atas hamba-hambaNya.

• Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.

• Antara Sunnah Rasulullah SAW apabila Nabi SAW memakai baju baru Baginda menyedekahkan pakaian yang lama. Tidak seperti ramai orang pada hari ini yang mempunyai pakaian yang begitu banyak di dalam almari mereka, Nabi SAW hanya memiliki pakaian yang sedikit. Ada ketikanya, Nabi SAW meminjam pakaian daripada para sahabatnya.

• Antara adab Nabi SAW di dalam berpakaian adalah Nabi SAW hanya memakai pakaian yang sedia ada, iaitu Nabi SAW tidak suka berlebih-lebihan dalam berpakaian. Sebahagian manusia berlebih-lebihan dalam berhias. Ini bukanlah dari Sunnah Nabi SAW bahkan Nabi SAW bersederhana di dalam berpakaian dan Baginda SAW tidak suka berbangga-bangga.

• Maka Nabi SAW melarang kita memakai pakaian kemahsyuran. Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” Baginda tidak memakai pakaian untuk berbangga. Baginda mengelakkan dari ‘menyerupai’ kaum wanita. Kaum wanita tidak menyerupai kaum lelaki. Kaum lelaki tidak menyerupai perempuan pada warna atau cara berpakaian. Apa yang diketahui daripada pakaian wanita, hendaklah lelaki menjauhkan diri daripadanya. Apa yang diketahui untuk lelaki, haruslah bagi wanita menjauhinya.

• Nabi SAW melarang kaum lelaki untuk memakai sutera. Barang siapa yang memakainya di dunia, Allah akan mengharamkan sutera baginya pada hari akhirat.

• Nabi SAW juga melarang kaum lelaki melabuhkan pakaiannya melebihi paras buku lali. Baginda bersabda: “Apa yang di bawah buku lali, maka nerakalah tempatnya” Nabi SAW mengangkat pakaiannya dengan penuh tawaddhu’ dan beradab dengan Allah SWT.

• Maka bagi wanita hendaklah mereka melabuhkan dan memanjangkan pakaiannya dan bagi lelaki pula memendekkan dan mengangkatnya. Beginilah Sunnah Baginda SAW.

• Baginda SAW melarang daripada lukisan. Jika Nabi SAW menjumpai salib, maka akan dimusnahkannya. Maka harus bagi mereka yang ingin memakai pakaian yang mempunyai tulisan atau lukisan memastikan apa yang ditulis dan dilukis agar ia tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW.

• Sepertimana Nabi SAW menyukai sebahagian warna, Nabi SAW juga membenci sesetengah warna yang lain. Baginda SAW membenci warna merah pekat. Nabi SAW juga membenci warna kuning bagi lelaki. Kita perlulah mengambil perhatian terhadap warna-warna yang dibenci Rasulullah SAW.

• Pada hari ini, para saintis telah menemukan bahawa warna mempengaruhi tabiah dan perbuatan manusia. Maka apa yang terbaik ialah menyukai perkara yang disukai Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Allah itu cantik dan dia menyukai kecantikan.

• Allah SWT berfirman kepada kekasihnya, “Dan pakaianmu, maka sucikanlah” Nabi SAW mencintai kebersihan pada pakaiannya, begitu jugalah bagi seluruh orang beriman yang mengikuti Nabi. Dan barang siapa yang beramal dengan Sunnah Rasululah pada pakaian zahirnya, kita berharap agar Allah memuliakannya dengan pakain batin yang telah disebutkan oleh Allah di dalam firmanNya, “Dan pakaian taqwa itulah sebaik-baik pakaian.” (al-A’raf : 26).



• Kita juga berharap apabila kita beramal dengan Sunnah Nabi di dalam berpakaian dan dimuliakan Allah dengan pakain batin, kita akan memperolehi kemuliaan dan rahsia firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. Jadi kita ‘memakai’ maksud firman Allah ini di dalam seluruh kehidupan kita, Insha Allah.

Saturday, June 4, 2016

Sunah Azan & Iqomah

Sunah Azan & Iqomah
  • Azan merupakan suara yang menghalau syaitan.  Semasa Nabi SAW ingin mencari cara untuk memanggil manusia solat, Nabi SAW telah berbincang dengan para sahabatnya.  Maka sebahagian sahabat telah memberi beberapa cadangan.  Seorang sahabat telah mencadangkan azan, maka Rasulullah SAW telah bersetuju dengannya. 
  • Azan mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama kita iaitu syiar Islam di negara Islam.  Allah SWT memuji para muazzin.  Allah SWT berfirman : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya selain mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal yang soleh”.
  • Nabi SAW bersabda, “Para muazzin mempunyai leher paling panjang pada hari kiamat”.  Muazzin mempunyai kedudukan yang tinggi kerana dia adalah penolong Allah SWT dalam menyeru manusia ke hadratNya dan pintu rahmatNya yang Maha Agung.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita tentang amal terbesar, dan hendaklah manusia berlumba-lumba mendapatkannya.  Baginda SAW bersabda, “Jika manusia mengetahui ganjaran pada saf pertama dan seruan azan, kemudian mereka tidak mendapatkannya melainkan dengan undian, maka mereka akan melakukan undian”.
  • Manusia hendaklah mendahulukan bersegera dalam menggapai fadhilat azan.  Dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, bahawa sesiapa yang melaungkan azan, maka apa sahaja yang mendengarnya dari kalangan manusia, jin dan apa sahaja batu atau lumpur melainkan mereka akan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.  Dengan itu, manusia hendaklah melaungkan azan di rumahnya, jika dia tidak mendengar azan.  Jika dia di padang pasir, maka ucapkanlah azan, sehingga dia memperolehi ganjaran azan yang besar di mana Allah memuji ahli-ahlinya.
  • Adab-adab seorang muazzin/bilal – Antara adab yang penting bagi seorang muazzin ialah dia seorang yang bertaqwa dan baik serta seorang yang boleh dipercayai.  Dan dengan itu, hendaklah dia menghadap kiblat dan bersuci semasa melaungkan azan.  Dan bagi azan itu sendiri, disunnahkan ia dilaungkan dengan jelas dan menguatkan suaranya semasa azan dan berdiri di tempat yang tinggi.  Pada hari ini, kita menggunakan pembesar suara.
  • Kemudian meletakkan jari-jari di telinganya semasa azan dan melaungkan azan dengan lafaz yang diketahui dan masyhur, “Allahu Akbar” sehingga ke akhirnya.  Dengan itu, disunnahkan berpaling pada lafaz “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah”, berpaling ke kanan dan ke kiri. Dan disunnahkan bagi muazzin ‘at-tarji’.  At-tarji’ selepas melafazkan dua takbir yang pertama, mengucapkan syahadah kepada dirinya sendiri “Asyahadualla ilaha illallah” 2 kali dan “Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah” 2 kali.  Selepas itu, barulah dia melafazkan syahadah empat kali dengan suara yang kuat.
  • Bagi solat subuh, disunnahkan “taswib” dengan lafaz “As-solatu khairumminannaum” 2 kali.  Sunnah-sunnah yang penting ini perlu diamalkan semasa azan.  Disunnahkan bagi muazzin berdiri semasa azan dan memanjangkan lafaz azan semasa azan manakala semasa iqamah memendekkan dan mempercepatkan lafaz iqamah.
  • Manakala bagi kaum wanita, wanita dibolehkan iqamah di kalangan wanita sahaja tanpa kehadiran lelaki.  Namun tidak disunnahkan wanita melaungkan azan selama-lamanya.  Nabi SAW bersabda : Jika kamu mendengar azan maka sahutlah ia!.
  • Sayyidah Aisyah berkata, Nabi SAW ketawa dan berbual mesra dengan kami sehinggalah apabila datang waktu solat dan Nabi SAW mendengar azan, Nabi SAW seolah-olah tidak mengenali kami atau kami tidak mengenalinya iaitu Nabi SAW meninggalkan segala kesibukkannya dan Nabi SAW bersedia untuk solat.
  • Maka apabila kita mendengar seruan muazzin, kita hendaklah bersedia untuk solat dan meninggalkan segala kesibukkan kita di dalam perbualan, penulisan, pekerjaan sehinggakan ketika membaca al-Quran hendaklah kita meninggalkan segala urusan, kerana ini merupakan seruan Allah melalui lisan penolongNya iaitu Muazzin.
  • Kemudian disunnahkan melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin.  Sesungguhnya Nabi SAW mengkhabarkan “Sesiapa yang  melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin dengan sepenuh hatinya, maka dia akan masuk syurga”  Dalam riwayat lain, “Dia akan mendapatkan syafaatku.”  Disunnahkan menjawab selepas Muazzin semasa lafaz “Asyhadu anna Muhammadarrasulullah” Ucapkanlah “Ana Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, Rodhitu billahi Rabban wabil islami diina wa bi Muhammadin Nabiyyan.”  Begitu juga, apabila dilaungkan “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah” Ucapkanlah “Laa hawla walaa quwwata illaa billahil ‘aliyyul ‘adzim”.  Semasa azan subuh, muazzin melaungkan “Assolatu khairum minannaum” jawablah “Sodaqta wabararta wabilhaqqi nataqta dan selepas azan disunnahkan berselawat ke atas Nabi SAW kemudian berdoa dengan doa yang diminta oleh Nabi SAW اللهمَّ ربَّ هذهِ الدعوةِ التامَّةِ ، والصلاةِ القائمةِ ، آتِ محمدًا الوسيلةَ والفضيلةَ ، وابعثْهُ مقامًا محمودًا الذي وعدْتَهُ
  • Wahai tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji kepadanbi Muhammad dan bangkitkanlah Baginda pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan.  Kemudian berdoa dengan doa yang kamu sukai. Maka sesiapa yang berdoa dengan doa ini Allah akan memuliakannya dengan berita gembira dari Rasulullah SAW dia layak mendapatkan syafaatku.  Maka ini adalah wasilah melalui doa untuk Rasulullah SAW agar kita mendapat syafaatnya pada hari kiamat.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak.  Makai a merupakan antara waktu yang penting bagi seorang mukmin untuk menyibukkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mendengarkan azan memberikan kerehatan dan melindungi dari bala.  Nabi SAW memberitahu apabila syaitan mendengar azan, ia lari sambil terkentut-kentut iaitu syaitan melarikan diri semasa azan kerana ia membakar dan menyakitinya.
  • Azan merupakan antara nikmat Allah kepada kita.  Ketika manusia mendengar azan yang bergema dari menara-menara orang islam dia merasa kerehatan dan ketenangan dan melindunginya dari bala. Maka azan terikat dengan syiar Islam, terikat dengan syiar Islam yang teragung dan terikat dengan Nabi SAW.  Alangkah baiknya ketika kita mendengar azan, kita membayangkan bagaimana Nabi SAW mendengarnya dan menghadap Allah SWT sehingga ia menjadi penyambung antara kita dalam menyegerakan solat seperti bersegeranya Rasulullah SAW dalam dalam menunaikan solat.  Maka kita benar-benar mengikut Nabi SAW di dalam amalan yang paling baik dengan sebaik-baik ciptaan iaitu Nabi SAW.  Justeru, kita akan memperolehi nilai dari firman Allah SWT “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. 

Friday, June 3, 2016

Sunnah Kegembiraan

Sunnah Kegembiraan
  • Nabi Muhammad SAW adalah sumber kegembiraan, dan Baginda merupakan sebesar-besar perkara yang menggembirakan kita.  Sebesar-besar kegembiraan ialah bertemu dengan Baginda pada hari kiamat dan minum air dari tapak tangannya yang mulia.
  • Nabi SAW turut bergembira (berseronok) dan menguruskan kegembiraannya mengikut apa yang diajarkan Allah SWT. Allah SWT berfirman kepada kita, “Katakanlah (Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, maka dengan itu, bergembiralah! Itu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” (Yunus:58).
  • Maka kegembiraan sentiasa berkaitan dengan kurniaan Allah dan perasaan syukur dengan kurniaan Allah. Di dalam hidup Nabi SAW, Baginda gembira dengan banyak perkara.  Baginda gembira dengan pengislaman lelaki Yahudi yang memeluk Islam kemudian meninggal dunia.  Maka Baginda menangis kerana terlalu gembira, seraya berkata “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka denganku”.
  • Selain itu, Nabi SAW gembira dengan kedatangan sebahagian sahabatnya. Baginda gembira semasa pulang dari Khaibar dan Allah membuka Khaibar untuknya serta menolong kaum Yahudi di sana. Maka Baginda berjumpa Saidina Jaafar dan berkata “Sesungguhnya aku berjumpa dengan Jaafar”  Baginda SAW bersedia untuk memakai baju, dan sebahagian badannya terbuka.  Baginda bangun dengan segera sehingga Baginda berjumpa Saidina Jaafar bin Abi Talib, lalu berkata, “Aku tidak tahu kerana apa aku gembira, kerana pembukaan Khaibar atau kedatangan Jaafar.  Beliau menjadikan kedatangan sahabat yang mulia ini setaraf dengan pembukaan Khaibar, kerana kedudukan Jaafar yang istimewa di dalam hati Rasulullah SAW.
  • Nabi SAW bersabda, Riangkan hatimu dari semasa ke semasa. Nabi SAW gembira dengan apa yang dimuliakan Allah SWT kepadanya, iaitu para isterinya.  Baginda juga gembira dengan perkahwinan.  Dengan itu, apabila anak perempuannya berkahwin, Baginda memperlihatkan kegembiraannya. Baginda menyambutnya dengan peralatan yang mengikut syariah, dengan penuh tawadu’ dan adab kepada Allah SWT.  Baginda mengadakan kenduri namun ia tidak melalaikannya. Sesetengah manusia, apabila mereka gembira (berseronok), mereka melupakan seluruh peraturan dan adab.  Sehingga ramai manusia, apabila mereka gembira dengan perkahwinannya atau perkahwinan anak lelaki/perempuannya, mereka berkata, “Cukup, malam ini malam kegembiraan, malam untuk berseronok!” Maka mereka meninggalkan banyak suruhan seperti solat atau melampaui batas-batas peraturan dan adab, dan Nabi SAW tidak melakukan perkara ini.
  • Imam Ali berkata : riangkan hati ini, sesungguhnya ia berasa bosan seperti bosannya badanmu.  Nabi SAW memperlihatkan adab dan peraturan dalam menguruskan kegembiraanya, kerana kegembiraan boleh menyebabkan manusia melampaui batas-batas adab dan pergaulan yang baik dengan Allah SWT.
  • Adab pertama ialah menisbahkan segala perkara kepada Allah SWT.  Apabila Nabi SAW melihat perkara yang mengagumkannya, beliau mengucapkan “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya menyempurnakan segala kebaikan”الحمدُ اللهِ الذي بنعمتِهِ تتمُّ الصالحاتُ
  • Dan apabila Baginda gembira dengan sesuatu perkara Baginda turun ke bumi dan sujud syukur kepada Allah, sepertimana apabila sampai berita suatu kabilah telah memeluk Islam, lantas Baginda sujud kepada Allah, dan apabila Allah mengangkat suatu bala, Baginda sujud syukur kepada Allah SWT. Maka Baginda menisbahkan segala perkara kepada Allah SWT.
  • Adab kedua ialah memperlihatkan kegembiraan.  Nabi SAW bersabda, “Warwarkan pernikahan dan sambutlah ia dengan pukulan gendang atau kompang”, kerana dengan memperlihatkan kegembiraan, ia akan membangkitkan keseronokan dan kasih sayang di antara manusia.  Nabi SAW ketika datang kepadanya pertolongan, dan diperlihatkan Allah SWT apa yang ingin diperlihatkan Baginda menzahirkannya dengan penuh tawadhu’ dan pengharapan. Ketika Nabi SAW memasukki Kota Makah dalam Fath Makkah, Baginda SAW tunduk sehingga mukanya hampir mengenai belakang kudanya, kerana begitu merendah diri kepada Allah.  Nabi SAW tidak menyambutnya dengan takabbur atau menisbahkan perkara itu kepada dirinya tetapi Baginda menisbahkannya kepada Allah yang Maha Kuasa.
  • Antara adab lain ialah mengutus pembawa berita gembira, Apabila ayat taubat turun kepada Kaab bin Malik dan orang-orang yang bersamanya, Nabi SAW menghantar pemberi berita gembira kepada Kaab bin Malik untuk menyampaikan berita gembira tersebut.  Maka menghantar berita, mesej dan wakil untuk menyampaikan berita gembira merupakan Sunnah Rasulullah SAW.
  • Antara Sunnah Nabi SAW ialah takbir ketika melihat perkara yang menggembirakannya atau berhasilnya perkara yang menggembirakannya.  Takbir sepertimana yang dilakukan Baginda semasa hari perayaan, Baginda SAW melaungkan takbir.  Baginda suka memperlihatkan kegembiraan semasa hari raya.  Apabila datang orang-orang Sudan yang memukul gendang dan bermain di Masjid Baginda SAW,  Sayyidah ‘Aisyah mahu melihatnya, Baginda SAW bertanya, “Adakah kamu ingin melihatnya wahai Aisyah?” Maka Baginda berdiri di tempat dekat dengan pintu dan Aisyah di atas belakangnya. Lalu ‘Aisyah menonton orang Habsyah tersebut memukul gendang, bermain dan menari.  Baginda SAW berdiri dan bertanya ‘Aisyah “Adakah engkau sudah puas?” sehingga ‘Aisyah betul-betul puas, Maka Baginda SAW suka menzahirkan kegembiraannya.
  • Apabila engkau gembira dengan suatu nikmat maka ingatlah bahawa ia dari Allah SWT dan jangan lupa bersyukur atas nikmat tersebut.
  • Antara perkara yang paling menggembirakan Nabi SAW di dunia ini, iaitu apabila Fatimah melahirkan Hassan dan Hussain antara perkara yang paling menggembirakan Baginda.  Baginda menzahirkan kegembiraannya dengan mendukung dan mencium mereka, namun Baginda bersyukur kepada Allah SWT dan melaksanakan aqiqah, dan ia merupakan antara Sunnah Baginda SAW.
  • Kita memohon kepada Allah agar menambahkan kegembiraan kita dan umat Islam.  Apabila seorang manusia dimuliakan Allah dengan perkara yang menggembirakannya,  maka, dia mengingati kegembiraannya seperti gembiranya Rasulullah SAW.  Dan  mengingati bahawa asas kegembiraan ialah pertemuan dengan Allah dan Rasulullah SAW.  Maka ini merupakan kegembiraan yang terbesar seiring dengan firman Allah, “Katakanlah (Muhammad), “Sekiranya engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau akan dicintai Allah”.