Sunday, June 5, 2016

Sunnah Siwak

Sunnah Siwak – Siwak sebagai peneman Nabi SAW

·         Rasulullah SAW datang kepada manusia, dengan perkara-perkara yang tidak mereka ketahui daripada amalan kebersihan.  Antara perkara yang telah diajarkan kepada manusia ialah bersiwak.

·         Bersiwak adalah Sunnah yang mudah, namun pahalanya, kesannya dan faedahnya sangat besar.

·         Antara faedah siwak yang agung dalam aspek keduniaan dan pancaindera ialah ia dapat membersihkan gigi dan memutihkannya, menguatkan gusi, menghilangkan kaviti dan menjauhkan dari bakteria serta memberi manfaat untuk perut dan akal.

·         Bahkan Nabi SAW menyebutkan bahawa antara faedah maknawinya ialah ia dapat menghalau syaitan.  Mereka yang mempunyai siwak maka syaitan akan lari daripadanya.  Ia juga dapat menggandakan pahala dan kebaikan. 

·         Ia juga dapat menolong dalam ucapan syahadah pada saat kematian iaitu ia merupakan satu sebab ‘husnul khotimah’.  Antara faedah siwak yang besar ialah siwak menyebabkan keredhaan Allah SWT seperti yang telah disabdakan Nabi SAW : Siwak ialah keredhaan Allah, membersihkan mulut dan di dalam riwayat lain siwak menghalau syaitan.”

·         Maka segelintir sahabat merasa kagum bagaimana kayu yang digunakan untuk membersihkan gigi merupakan sebab keredhaan Allah.  Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjalinkan antara amalan seharian kita yang berfaedah bagi kebersihan dan kesihatan kita, dengan perkara utama bahkan perkara yang paling tinggi iaitu redha Allah SWT.

·         Disunnahkan penggunaan siwak melebihi 20 kali sehari.  Antara perkara penting ialah mengetahui tujuan siwak ialah membersihkan mulut dan gigi serta menyegarkan nafas.  Ia boleh dicapai dengan sebarang alat, namun cara yang paling baik dan utama adalah yang diajarkan oleh Nabi SAW iaitu kayu arak yang merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW, kerana ia mempunyai bahan yang membersihkan dan menyahkuman dan bermanfaat untuk semua bahagian mulut, gigi, gusi dan sebagainya.

·         Namun, jika manusia tidak menemui kayu ini maka dibolehkan dengan kulit batang kurma, dengan batang pokok raihan atau apa-apa batang yang mempunyai bau yang wangi dan juga boleh menggunakan berus dan ubat gigi seperti yang digunakan pada hari ini.

·         Nabi SAW bersabda : Jika tidak memberati ummatku, maka aku akan mewajibkan siwak dengan wudhu.  Rasulullah SAW mempunyai kaedah dalam menggunakan siwak.  Jika kita bersiwak mengikut kaedah Rasulullah SAW, kita akan melakukan banyak Sunnah yang terhimpun dalam satu Sunnah lalu beroleh ganjaran yang banyak, serta memperoleh banyak faedah dari segi kesihatan dan akhirat.  Maka disunnahkan memegang siswak seperti yang diajarkan oleh para ‘ulama’ dan Rasulullah (SAW).

·         Disunnahkan siwak dipegang di antara jari kelingking dan ibu jari dan di atas jari-jari selainnya.  Kemudian disunnahkan sebelum menggunakan siwak agar mencucinya dan melembutkannya dengan air.  Kemudian mulakan siwak dari sebelah kanan dan dari bahagian atas. Maka mulakan  dari bahagian atas ke bawah dan menggerakkan siwak dalam bentuk bulatan.  Kemudian lalukan ia bahagian atas gigi kemudian bahagian belakang gigi.  Disunnahkan juga menyapu lidah dan lelangit dengan siwak 3 kali.

·         Rasulullah SAW mengajar kita untuk menggunakan siwak secara melintang.  Ada di antara manusia yang mempunyai sesuatu di celahan giginya, dengan itu, Rasulullah SAW memberitahu kita akan Sunnah ‘Tahlil’ (Menyelati).  Jika seseorang ingin bersiwak, sebaik-baiknya kita mencungkil gigi dengan ‘floss’ sekiranya terdapat sesuatu di celah-celahnya. 

·         Apabila selesai bersiwak, disunnahkan mencucinya dari kesan air liur.  Maka ini merupakan kaedah yang baik dalam menggunakan siwak.  Jika seseorang beramal dengannya, ia akan beroleh banyak kebaikan dan dia mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.

·         Kajian membuktikan bahawa kayu Arak mempunyai kelebihan yang besar berbanding teknologi terkini.  Rasulullah SAW sangat mementingkan siwak sehinggakan beliau tidak pernah meninggalkannya semasa musafir atau tidak, sehinggakan Baginda melantik Abdullah Bin Mas’ud dalam kesibukan dan pekerjaanya, sebagai pemegang siwak Rasulullah SAW.

·         Nabi SAW menggunakan siwak dalam banyak keadaan namun antara keadaan yang terpenting ialah sebelum berwudhu’ dan sebelum solat.  Kerana Rasulullah SAW telah bersabda kepada kita, “Jika aku tidak memberati ummatku, nescaya aku wajibkan siwak ke atas mereka setiap kali sebelum wudhu’.  Dalam riwayat lain, “Setiap kali sebelum solat”.

·         Namun siwak disunnahkan dalam banyak keadaan, semasa keluar rumah dan semasa masuk ke dalamnya, semasa bangun dari tidur dan hendak tidur, semasa bau mulut berubah, semasa membaca al-Quran.

·         Apa yang penting siwak disunnahkan dalam banyak keadaan bahkan dalam keadaan yang penting.  Antara kejadian penting yang menunjukkan kedudukan siwak di sisi Rasulullah SAW ialah seperti yang dikhabarkan oleh Saidatina Aisyah semasa saat kewafatan Rasulullah, roh Baginda akan keluar sedang Baginda bersandar di atas dadanya (Aisyah).  Beliau berkata “Aku melihat Baginda melihat ke arah siwak di atas lantai”.  Maka aku mengambilnya dan menggigitnya supaya ia lembut dengan air liurku.  Kemudian aku memberikan ia kepada Nabi SAW untuk bersiwak dengannya.

·         Beliau berbangga kerana perkara terakhir yang masuk ke dalam mulut Nabi SAW ialah air liurnya.  Begitu juga siwak, ia layak berbangga kerana alat terakhir yang masuk ke dalam Baginda ialah siwak.  Dan bagi Sunnah yang agung ini, jika siwak tidak mempunyai nilai lain kecuali kedudukannya semasa kewafatan Nabi, cukuplah bagi kita untuk tidak meninggalkan siwak sehingga ke akhir hayat kita, dalam merealisasikan maksud ‘mengikut Nabi’ yang ditunjukkan dalam firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”.

Sunnah Pakaian

Sunnah Pakaian

• Nabi SAW seorang yang indah dan cantik serta baginda indah dalam setiap aspek. Antara keindahan Nabi SAW ialah adabnya dengan pakaiannya.

• Baginda SAW menyukai warna putih dan juga warna hijau. Nabi SAW memakai pakaian berbelang merah dan hijau. Nabi SAW juga memakai warna hitam. Nabi SAW memakai serban, songkok dan kopiah. Nabi SAW memakai gamis dan gamis yang paling disukai Nabi SAW ialah baju (jubah). Ini merupakan baju yang paling disukai Nabi SAW. Nabi SAW juga memakai ‘hullah’ iaitu potongan selendang dan kain.

• Seorang sahabat telah berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang memakai hullah merah di malam yang gelap lebih indah dari Rasulullah SAW”.

• Nabi SAW juga memakai jubah dan menutup kepalanya dengan selendang. Beginilah keadaan Nabi SAW dan Nabi SAW mempunyai adab dengan pakaiannya.

• Nabi SAW memakai pakaian, baju dan seluar bermula dari sebelah kanan sebelum sebelah kiri dan menyebut nama Allah SWT (membaca basmalah).

• Baginda SAW membaca doa ketika memakai pakaian,
الحمد الله الذي كساني هذا ورزقنيه من غير حول مني ولا قوة
“Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku pakaian ini dan memberiku rezeki tanpa daya dan kekuatan dariku”

• Jika pakaian itu baru, Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan kebaikan padanya dan menjauhkan ia dari keburukan. Apabila Nabi SAW berjumpa dengan mereka yang memakai baju baru Nabi SAW berdoa kepadanya
البَس جديدًا وعِش حميدًا ومِت شهيدًا
“Pakailah pakaian baru, hiduplah dengan kemuliaan dan matilah sebagai syahid.

• Beginilah sifat Rasulullah SAW, semua perkara ini adalah untuk menunaikan perintah Allah SWT kerana manusia memakai pakaian untuk menutup auratnya dan sebagai perhiasan. Seperti yang telah diperintahkan Allah di dalam firmanNya, “Kami telah menurunkan pakaian untuk menutup auratmu” (al-A’raf : 26). Allah SWT telah berfirman, “Pakailah pakaianmu yang indah setiap kali ke masjid” (al-A’raf : 31).

• Maka manusia berhias dengan pakaian yang baik tanpa berbangga-bangga dan bermegah-megah. Nabi SAW berjumpa dengan seorang yang berpakain lusuh. Nabi SAW bertanya, “Adakah engkau tidak mempunyai harta? Jawabnya, “Ya, aku mempunyai harta.” “Maka mengapa engkau tidak menzahirkan nikmat Allah kepadamu? “Dan dengan nikmat Allah, maka ceritakanlah”. Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan nikmatNya ke atas hamba-hambaNya.

• Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.

• Antara Sunnah Rasulullah SAW apabila Nabi SAW memakai baju baru Baginda menyedekahkan pakaian yang lama. Tidak seperti ramai orang pada hari ini yang mempunyai pakaian yang begitu banyak di dalam almari mereka, Nabi SAW hanya memiliki pakaian yang sedikit. Ada ketikanya, Nabi SAW meminjam pakaian daripada para sahabatnya.

• Antara adab Nabi SAW di dalam berpakaian adalah Nabi SAW hanya memakai pakaian yang sedia ada, iaitu Nabi SAW tidak suka berlebih-lebihan dalam berpakaian. Sebahagian manusia berlebih-lebihan dalam berhias. Ini bukanlah dari Sunnah Nabi SAW bahkan Nabi SAW bersederhana di dalam berpakaian dan Baginda SAW tidak suka berbangga-bangga.

• Maka Nabi SAW melarang kita memakai pakaian kemahsyuran. Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang memakai pakaian kemahsyuran di dunia, nescaya Allah memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” Baginda tidak memakai pakaian untuk berbangga. Baginda mengelakkan dari ‘menyerupai’ kaum wanita. Kaum wanita tidak menyerupai kaum lelaki. Kaum lelaki tidak menyerupai perempuan pada warna atau cara berpakaian. Apa yang diketahui daripada pakaian wanita, hendaklah lelaki menjauhkan diri daripadanya. Apa yang diketahui untuk lelaki, haruslah bagi wanita menjauhinya.

• Nabi SAW melarang kaum lelaki untuk memakai sutera. Barang siapa yang memakainya di dunia, Allah akan mengharamkan sutera baginya pada hari akhirat.

• Nabi SAW juga melarang kaum lelaki melabuhkan pakaiannya melebihi paras buku lali. Baginda bersabda: “Apa yang di bawah buku lali, maka nerakalah tempatnya” Nabi SAW mengangkat pakaiannya dengan penuh tawaddhu’ dan beradab dengan Allah SWT.

• Maka bagi wanita hendaklah mereka melabuhkan dan memanjangkan pakaiannya dan bagi lelaki pula memendekkan dan mengangkatnya. Beginilah Sunnah Baginda SAW.

• Baginda SAW melarang daripada lukisan. Jika Nabi SAW menjumpai salib, maka akan dimusnahkannya. Maka harus bagi mereka yang ingin memakai pakaian yang mempunyai tulisan atau lukisan memastikan apa yang ditulis dan dilukis agar ia tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi SAW.

• Sepertimana Nabi SAW menyukai sebahagian warna, Nabi SAW juga membenci sesetengah warna yang lain. Baginda SAW membenci warna merah pekat. Nabi SAW juga membenci warna kuning bagi lelaki. Kita perlulah mengambil perhatian terhadap warna-warna yang dibenci Rasulullah SAW.

• Pada hari ini, para saintis telah menemukan bahawa warna mempengaruhi tabiah dan perbuatan manusia. Maka apa yang terbaik ialah menyukai perkara yang disukai Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Allah itu cantik dan dia menyukai kecantikan.

• Allah SWT berfirman kepada kekasihnya, “Dan pakaianmu, maka sucikanlah” Nabi SAW mencintai kebersihan pada pakaiannya, begitu jugalah bagi seluruh orang beriman yang mengikuti Nabi. Dan barang siapa yang beramal dengan Sunnah Rasululah pada pakaian zahirnya, kita berharap agar Allah memuliakannya dengan pakain batin yang telah disebutkan oleh Allah di dalam firmanNya, “Dan pakaian taqwa itulah sebaik-baik pakaian.” (al-A’raf : 26).



• Kita juga berharap apabila kita beramal dengan Sunnah Nabi di dalam berpakaian dan dimuliakan Allah dengan pakain batin, kita akan memperolehi kemuliaan dan rahsia firman Allah “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. Jadi kita ‘memakai’ maksud firman Allah ini di dalam seluruh kehidupan kita, Insha Allah.

Saturday, June 4, 2016

Sunah Azan & Iqomah

Sunah Azan & Iqomah
  • Azan merupakan suara yang menghalau syaitan.  Semasa Nabi SAW ingin mencari cara untuk memanggil manusia solat, Nabi SAW telah berbincang dengan para sahabatnya.  Maka sebahagian sahabat telah memberi beberapa cadangan.  Seorang sahabat telah mencadangkan azan, maka Rasulullah SAW telah bersetuju dengannya. 
  • Azan mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama kita iaitu syiar Islam di negara Islam.  Allah SWT memuji para muazzin.  Allah SWT berfirman : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya selain mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal yang soleh”.
  • Nabi SAW bersabda, “Para muazzin mempunyai leher paling panjang pada hari kiamat”.  Muazzin mempunyai kedudukan yang tinggi kerana dia adalah penolong Allah SWT dalam menyeru manusia ke hadratNya dan pintu rahmatNya yang Maha Agung.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita tentang amal terbesar, dan hendaklah manusia berlumba-lumba mendapatkannya.  Baginda SAW bersabda, “Jika manusia mengetahui ganjaran pada saf pertama dan seruan azan, kemudian mereka tidak mendapatkannya melainkan dengan undian, maka mereka akan melakukan undian”.
  • Manusia hendaklah mendahulukan bersegera dalam menggapai fadhilat azan.  Dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, bahawa sesiapa yang melaungkan azan, maka apa sahaja yang mendengarnya dari kalangan manusia, jin dan apa sahaja batu atau lumpur melainkan mereka akan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.  Dengan itu, manusia hendaklah melaungkan azan di rumahnya, jika dia tidak mendengar azan.  Jika dia di padang pasir, maka ucapkanlah azan, sehingga dia memperolehi ganjaran azan yang besar di mana Allah memuji ahli-ahlinya.
  • Adab-adab seorang muazzin/bilal – Antara adab yang penting bagi seorang muazzin ialah dia seorang yang bertaqwa dan baik serta seorang yang boleh dipercayai.  Dan dengan itu, hendaklah dia menghadap kiblat dan bersuci semasa melaungkan azan.  Dan bagi azan itu sendiri, disunnahkan ia dilaungkan dengan jelas dan menguatkan suaranya semasa azan dan berdiri di tempat yang tinggi.  Pada hari ini, kita menggunakan pembesar suara.
  • Kemudian meletakkan jari-jari di telinganya semasa azan dan melaungkan azan dengan lafaz yang diketahui dan masyhur, “Allahu Akbar” sehingga ke akhirnya.  Dengan itu, disunnahkan berpaling pada lafaz “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah”, berpaling ke kanan dan ke kiri. Dan disunnahkan bagi muazzin ‘at-tarji’.  At-tarji’ selepas melafazkan dua takbir yang pertama, mengucapkan syahadah kepada dirinya sendiri “Asyahadualla ilaha illallah” 2 kali dan “Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah” 2 kali.  Selepas itu, barulah dia melafazkan syahadah empat kali dengan suara yang kuat.
  • Bagi solat subuh, disunnahkan “taswib” dengan lafaz “As-solatu khairumminannaum” 2 kali.  Sunnah-sunnah yang penting ini perlu diamalkan semasa azan.  Disunnahkan bagi muazzin berdiri semasa azan dan memanjangkan lafaz azan semasa azan manakala semasa iqamah memendekkan dan mempercepatkan lafaz iqamah.
  • Manakala bagi kaum wanita, wanita dibolehkan iqamah di kalangan wanita sahaja tanpa kehadiran lelaki.  Namun tidak disunnahkan wanita melaungkan azan selama-lamanya.  Nabi SAW bersabda : Jika kamu mendengar azan maka sahutlah ia!.
  • Sayyidah Aisyah berkata, Nabi SAW ketawa dan berbual mesra dengan kami sehinggalah apabila datang waktu solat dan Nabi SAW mendengar azan, Nabi SAW seolah-olah tidak mengenali kami atau kami tidak mengenalinya iaitu Nabi SAW meninggalkan segala kesibukkannya dan Nabi SAW bersedia untuk solat.
  • Maka apabila kita mendengar seruan muazzin, kita hendaklah bersedia untuk solat dan meninggalkan segala kesibukkan kita di dalam perbualan, penulisan, pekerjaan sehinggakan ketika membaca al-Quran hendaklah kita meninggalkan segala urusan, kerana ini merupakan seruan Allah melalui lisan penolongNya iaitu Muazzin.
  • Kemudian disunnahkan melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin.  Sesungguhnya Nabi SAW mengkhabarkan “Sesiapa yang  melafazkan seperti apa yang dilafazkan Muazzin dengan sepenuh hatinya, maka dia akan masuk syurga”  Dalam riwayat lain, “Dia akan mendapatkan syafaatku.”  Disunnahkan menjawab selepas Muazzin semasa lafaz “Asyhadu anna Muhammadarrasulullah” Ucapkanlah “Ana Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, Rodhitu billahi Rabban wabil islami diina wa bi Muhammadin Nabiyyan.”  Begitu juga, apabila dilaungkan “Hayya ‘alassolah, Hayya ‘alal falah” Ucapkanlah “Laa hawla walaa quwwata illaa billahil ‘aliyyul ‘adzim”.  Semasa azan subuh, muazzin melaungkan “Assolatu khairum minannaum” jawablah “Sodaqta wabararta wabilhaqqi nataqta dan selepas azan disunnahkan berselawat ke atas Nabi SAW kemudian berdoa dengan doa yang diminta oleh Nabi SAW اللهمَّ ربَّ هذهِ الدعوةِ التامَّةِ ، والصلاةِ القائمةِ ، آتِ محمدًا الوسيلةَ والفضيلةَ ، وابعثْهُ مقامًا محمودًا الذي وعدْتَهُ
  • Wahai tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji kepadanbi Muhammad dan bangkitkanlah Baginda pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan.  Kemudian berdoa dengan doa yang kamu sukai. Maka sesiapa yang berdoa dengan doa ini Allah akan memuliakannya dengan berita gembira dari Rasulullah SAW dia layak mendapatkan syafaatku.  Maka ini adalah wasilah melalui doa untuk Rasulullah SAW agar kita mendapat syafaatnya pada hari kiamat.
  • Nabi SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa doa di antara azan dan iqamah tidak akan ditolak.  Makai a merupakan antara waktu yang penting bagi seorang mukmin untuk menyibukkan diri kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mendengarkan azan memberikan kerehatan dan melindungi dari bala.  Nabi SAW memberitahu apabila syaitan mendengar azan, ia lari sambil terkentut-kentut iaitu syaitan melarikan diri semasa azan kerana ia membakar dan menyakitinya.
  • Azan merupakan antara nikmat Allah kepada kita.  Ketika manusia mendengar azan yang bergema dari menara-menara orang islam dia merasa kerehatan dan ketenangan dan melindunginya dari bala. Maka azan terikat dengan syiar Islam, terikat dengan syiar Islam yang teragung dan terikat dengan Nabi SAW.  Alangkah baiknya ketika kita mendengar azan, kita membayangkan bagaimana Nabi SAW mendengarnya dan menghadap Allah SWT sehingga ia menjadi penyambung antara kita dalam menyegerakan solat seperti bersegeranya Rasulullah SAW dalam dalam menunaikan solat.  Maka kita benar-benar mengikut Nabi SAW di dalam amalan yang paling baik dengan sebaik-baik ciptaan iaitu Nabi SAW.  Justeru, kita akan memperolehi nilai dari firman Allah SWT “Katakanlah (Muhammad) jika engkau menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah”. 

Friday, June 3, 2016

Sunnah Kegembiraan

Sunnah Kegembiraan
  • Nabi Muhammad SAW adalah sumber kegembiraan, dan Baginda merupakan sebesar-besar perkara yang menggembirakan kita.  Sebesar-besar kegembiraan ialah bertemu dengan Baginda pada hari kiamat dan minum air dari tapak tangannya yang mulia.
  • Nabi SAW turut bergembira (berseronok) dan menguruskan kegembiraannya mengikut apa yang diajarkan Allah SWT. Allah SWT berfirman kepada kita, “Katakanlah (Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, maka dengan itu, bergembiralah! Itu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” (Yunus:58).
  • Maka kegembiraan sentiasa berkaitan dengan kurniaan Allah dan perasaan syukur dengan kurniaan Allah. Di dalam hidup Nabi SAW, Baginda gembira dengan banyak perkara.  Baginda gembira dengan pengislaman lelaki Yahudi yang memeluk Islam kemudian meninggal dunia.  Maka Baginda menangis kerana terlalu gembira, seraya berkata “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka denganku”.
  • Selain itu, Nabi SAW gembira dengan kedatangan sebahagian sahabatnya. Baginda gembira semasa pulang dari Khaibar dan Allah membuka Khaibar untuknya serta menolong kaum Yahudi di sana. Maka Baginda berjumpa Saidina Jaafar dan berkata “Sesungguhnya aku berjumpa dengan Jaafar”  Baginda SAW bersedia untuk memakai baju, dan sebahagian badannya terbuka.  Baginda bangun dengan segera sehingga Baginda berjumpa Saidina Jaafar bin Abi Talib, lalu berkata, “Aku tidak tahu kerana apa aku gembira, kerana pembukaan Khaibar atau kedatangan Jaafar.  Beliau menjadikan kedatangan sahabat yang mulia ini setaraf dengan pembukaan Khaibar, kerana kedudukan Jaafar yang istimewa di dalam hati Rasulullah SAW.
  • Nabi SAW bersabda, Riangkan hatimu dari semasa ke semasa. Nabi SAW gembira dengan apa yang dimuliakan Allah SWT kepadanya, iaitu para isterinya.  Baginda juga gembira dengan perkahwinan.  Dengan itu, apabila anak perempuannya berkahwin, Baginda memperlihatkan kegembiraannya. Baginda menyambutnya dengan peralatan yang mengikut syariah, dengan penuh tawadu’ dan adab kepada Allah SWT.  Baginda mengadakan kenduri namun ia tidak melalaikannya. Sesetengah manusia, apabila mereka gembira (berseronok), mereka melupakan seluruh peraturan dan adab.  Sehingga ramai manusia, apabila mereka gembira dengan perkahwinannya atau perkahwinan anak lelaki/perempuannya, mereka berkata, “Cukup, malam ini malam kegembiraan, malam untuk berseronok!” Maka mereka meninggalkan banyak suruhan seperti solat atau melampaui batas-batas peraturan dan adab, dan Nabi SAW tidak melakukan perkara ini.
  • Imam Ali berkata : riangkan hati ini, sesungguhnya ia berasa bosan seperti bosannya badanmu.  Nabi SAW memperlihatkan adab dan peraturan dalam menguruskan kegembiraanya, kerana kegembiraan boleh menyebabkan manusia melampaui batas-batas adab dan pergaulan yang baik dengan Allah SWT.
  • Adab pertama ialah menisbahkan segala perkara kepada Allah SWT.  Apabila Nabi SAW melihat perkara yang mengagumkannya, beliau mengucapkan “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya menyempurnakan segala kebaikan”الحمدُ اللهِ الذي بنعمتِهِ تتمُّ الصالحاتُ
  • Dan apabila Baginda gembira dengan sesuatu perkara Baginda turun ke bumi dan sujud syukur kepada Allah, sepertimana apabila sampai berita suatu kabilah telah memeluk Islam, lantas Baginda sujud kepada Allah, dan apabila Allah mengangkat suatu bala, Baginda sujud syukur kepada Allah SWT. Maka Baginda menisbahkan segala perkara kepada Allah SWT.
  • Adab kedua ialah memperlihatkan kegembiraan.  Nabi SAW bersabda, “Warwarkan pernikahan dan sambutlah ia dengan pukulan gendang atau kompang”, kerana dengan memperlihatkan kegembiraan, ia akan membangkitkan keseronokan dan kasih sayang di antara manusia.  Nabi SAW ketika datang kepadanya pertolongan, dan diperlihatkan Allah SWT apa yang ingin diperlihatkan Baginda menzahirkannya dengan penuh tawadhu’ dan pengharapan. Ketika Nabi SAW memasukki Kota Makah dalam Fath Makkah, Baginda SAW tunduk sehingga mukanya hampir mengenai belakang kudanya, kerana begitu merendah diri kepada Allah.  Nabi SAW tidak menyambutnya dengan takabbur atau menisbahkan perkara itu kepada dirinya tetapi Baginda menisbahkannya kepada Allah yang Maha Kuasa.
  • Antara adab lain ialah mengutus pembawa berita gembira, Apabila ayat taubat turun kepada Kaab bin Malik dan orang-orang yang bersamanya, Nabi SAW menghantar pemberi berita gembira kepada Kaab bin Malik untuk menyampaikan berita gembira tersebut.  Maka menghantar berita, mesej dan wakil untuk menyampaikan berita gembira merupakan Sunnah Rasulullah SAW.
  • Antara Sunnah Nabi SAW ialah takbir ketika melihat perkara yang menggembirakannya atau berhasilnya perkara yang menggembirakannya.  Takbir sepertimana yang dilakukan Baginda semasa hari perayaan, Baginda SAW melaungkan takbir.  Baginda suka memperlihatkan kegembiraan semasa hari raya.  Apabila datang orang-orang Sudan yang memukul gendang dan bermain di Masjid Baginda SAW,  Sayyidah ‘Aisyah mahu melihatnya, Baginda SAW bertanya, “Adakah kamu ingin melihatnya wahai Aisyah?” Maka Baginda berdiri di tempat dekat dengan pintu dan Aisyah di atas belakangnya. Lalu ‘Aisyah menonton orang Habsyah tersebut memukul gendang, bermain dan menari.  Baginda SAW berdiri dan bertanya ‘Aisyah “Adakah engkau sudah puas?” sehingga ‘Aisyah betul-betul puas, Maka Baginda SAW suka menzahirkan kegembiraannya.
  • Apabila engkau gembira dengan suatu nikmat maka ingatlah bahawa ia dari Allah SWT dan jangan lupa bersyukur atas nikmat tersebut.
  • Antara perkara yang paling menggembirakan Nabi SAW di dunia ini, iaitu apabila Fatimah melahirkan Hassan dan Hussain antara perkara yang paling menggembirakan Baginda.  Baginda menzahirkan kegembiraannya dengan mendukung dan mencium mereka, namun Baginda bersyukur kepada Allah SWT dan melaksanakan aqiqah, dan ia merupakan antara Sunnah Baginda SAW.
  • Kita memohon kepada Allah agar menambahkan kegembiraan kita dan umat Islam.  Apabila seorang manusia dimuliakan Allah dengan perkara yang menggembirakannya,  maka, dia mengingati kegembiraannya seperti gembiranya Rasulullah SAW.  Dan  mengingati bahawa asas kegembiraan ialah pertemuan dengan Allah dan Rasulullah SAW.  Maka ini merupakan kegembiraan yang terbesar seiring dengan firman Allah, “Katakanlah (Muhammad), “Sekiranya engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau akan dicintai Allah”. 

Tuesday, May 24, 2016

Sunnah Zikir

Sunnah Zikir
  • Antara hal kenabian yang agung ialah zikir kepada Allah. Zikir ialah kunci kedekatan (kepada Allah) dan antara amalan yang teragung. Dan Nabi SAW merupakan orang paling banyak berzikir kepada Allah.
  • Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Baginda SAW mengingati Allah di dalam setiap urusan. Baginda mengingati Allah pada setiap masa.
  • Apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, terdapat banyak syariat Islam, maka wasiatkanlah aku dengan sesuatu jika aku beramal dengannya, aku akan masuk syurga.” Baginda berkata kepadanya, “Basahilah lidahmu dengan zikir kepada Allah.”
  • Baginda SAW mempunyai zikir yang mutlak, Baginda mengingati Allah pada setiap waktu. Dan Baginda juga berzikir kepada Allah dalam urusan yang berbeza dari pagi hingga malam, Setiap amalan Baginda terikat dengan zikir, dengan Basmalah, puji-pujian dan doa kepada Allah SWT.
  • Dengan itu, Nabi SAW mempunyai zikir yang berkaitan dengan masa. Baginya zikir pada waktu pagi, zikir waktu petang dan lain-lain lagi. Nabi SAW sentiasa berdamping dengan Allah. Malah Baginda menggalakkan para sahabat agar berzikir, bahkan di dalam setiap peluang. Baginda mengajar para sahabat dan ummatnya untuk berzikir. Baginda tidak pernah melepaskan peluang tersebut.
  • Pernah sekali semasa Baginda dalam perjalanan dan Baginda sampai ke satu tempat yang dipanggil Bukit ‘Jumudan’ Baginda SAW bersabda, “Golongan ‘Mufarridun’ akan mendahului Jumudan ini.”
  • Baginda seperti ingin menyedarkan mereka apakah maksud ‘mendahului’. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah ‘Mufarridun’?” Baginda menjawab, “Mereka yang banyak berzikir kepada Allah SWT, atau mereka yang kerap dan banyak berzikir kepada Allah SWT.”
  • Allah SWT telah berfirman dalam hadith Qudsi “Siapa yang mengingatiku pada dirinya, Maka Aku mengingatinya pada diriKu. Siapa yang mengingatiku di dalam kumpulan, maka Aku akan mengingatinya di dalam kumpulan yang lebih baik dari mereka.”
  • Nabi SAW sangat menyukai majlis-majlis zikir dan mereka yang berkumpul untuk berzikir. Sehingga pernah sekali Baginda keluar kepada para sahabatnya maka Baginda mendapati mereka sedang mengingati Allah. Baginda bertanya, “Apa yang kamu sedang lakukan? Mereka menjawab, “Ya Rasulullah, kami sedang mengingati Allah, kebaikanNya dan segala kurnianNya ke atas kami.” Lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu hanya duduk untuk mengingati Allah?” Baginda menyuruh mereka bersumpah. Mereka menjawab, “Demi Allah, kami hanya berkumpul untuk tujuan ini wahai Rasulullah.” “Adapun aku bukan menyuruhmu bersumpah untuk menuduhmu, tetapi Jibril telah datang kepadaku, dan memberitahuku bahawa Allah berbangga denganmu di hadapan para malaikatNya.”
  • Jika manusia menghayati makna ini bahawa Allah berbangga dengan manusia yang berkumpul untuk mengingatiNya,  Allah berfirman : “Sesiapa yang mengingatiku pada dirinya, Maka Aku akan mengingatinya pada diriKu dan siapa yang mengingatiKu di dalam kumpulan, maka Aku akan mengingatinya di dalam kumpulan yang lebih baik.
  • Nabi SAW memberitahu kita mengenai suatu pemandangan yang sangat indah. Sesungguhnya  Allah mempunyai malaikat yang mencari dan singgah di dalam majlis zikir. Jika mereka menjumpai suatu kaum yang mengingati Allah, mereka berkata, “Pergilah kepada apa yang kamu cari” dan mereka berbondong-bondong sehingga ke langit dunia.
  • Pemandangan yang menakjubkan, perkumpulan malaikat di majlis sehingga ke langit. Apabila mereka pulang selepas itu, Allah bertanya kepada mereka, “Bagaimana hamba-hambaku?  Mereka menjawab, “HambaMu bertasbih, memujimu sehingga ke akhir majlis” Maka Allah berfirman, “Saksikanlah wahai malaikat bahawa Aku telah mengampuni mereka.”  Mereka berkata, “Wahai Allah, fulan ini datang untuk mengambil tahu (hal orang)” Allah berfirman, “Sesungguhnya aku telah mengampuninya, mereka adalah kaum yang tidak sia-sia perkumpulan mereka.” 
  • Mereka itulah ahli zikir yang telah disebutkan hak mereka oleh Allah melalui NabiNya, “Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (ahli zikir)”- al-Kahfi : 28. Mereka ialah golongan yang selalu melazimi zikir kepada Allah SWT.
  • Nabi SAW mempunyai zikir yang sentiasa dilakukannya. Dan mestilah setiap pengikutnya mengambil berat akan zikir-zikir tersebut. Sebaik-baik zikir ialah Laa ilaha illallah. Sebaik-baik zikir adalah Laa ilaha illallah. Sebaik-baik ucapanku dan para Nabi ialah Laa ilaha illallah. Ia merupakan ucapan ikhlas, tauhid dan kunci syurga. Seorang muslim perlu memperbanyakkan ucapannya.
  • Antara zikir yang agung ialah “Subhanallahi wabihamdihi Subhanallahil Adzim.”  Sabda Rasulullah SAW, “2 kalimah yang ringan pada lisan, berat pada timbangan, disukai oleh Allah, Subhanallahi wabihamdihi, Subhanallahi ‘Adzim.”  Para sahabat r.a  berkata, “Di dalam majlis bersama Rasulullah, kami sentiasa membaca ucapan ini 100 kali” ربِّ اغفِرْ لي وتُبْ عليَّ إنك أنت التوابُ الغفورُ
  • “Wahai tuhanku, ampunilah aku, dan terimalah taubatku, Sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang” Maka hendaklah bagi setiap Muslim mengamalkannya kerana Nabi SAW sentiasa membaca zikir ini di setiap majlis.
  • Antara zikir yang paling penting ialah Baqiatussolihaat Rasulullah SAW bersabda, “Ucapan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailaahaillallah, Allahu Akbar lebih baik bagiku daripada terbitnya matahari serta dunia dan seisinya.”
  • Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki yang pada malam mi’raj yang disinari dengan cahaya arasy’ Aku bertanya, “Adakah dia seorang Nabi?, Jibril menjawab, “Bukan” Aku bertanya, “Seorang Malaikat?”, Jibril menjawab, “Bukan”  Aku bertanya, Maka siapakah dia? Jibril menjawab, ini adalah lelaki yang lidahnya basah dengan zikrullah.”
  • Sesiapa yang suka melalui syurga di dunia, maka hadirilah majlis-majlis zikir. Sesungguhnya ia adalah taman-taman syurga di dunia.”
  • Perkara terpenting bagi zikir ialah hati yang hadir terhadap Allah, dan merasakan bahawa Allah sentiasa melihatku, dan Dia sentiasa bersamaku. Dan Dia mengingatiku ketika mana aku mengingatiNya.
  • Maka ini merupakan makna firman Allah, “Maka ingatilah Aku, nescaya Aku mengingatimu” dan Rasulullah SAW menekankan kepada kita mengenainya di dalam banyak hadis Qudsi iaitu “Sesiapa yang menyebut namaKu secara bersendirian, Maka aku akan mengingatinya pada diriKu” dan siapa yang menyebut namaKu di dalam kumpulan, nescaya Aku menyebut namanya di dalam kumpulan yang lebih baik”.
  • Ini bermakna, jika manusia memahaminya, ia merupakan pertalian antara dirinya dengan Allah SWT. Dan sesungguhnya Allah SWT berfirman, “Aku bersama hambaKu selagimana lidahnya menyebut namaKu”.
  • Begitulah Nabi datang kepada kita untuk menghidupkan dan meningkatkan keimanan dan pengetahuan kepada Yang Maha Penyayang dan kita dapat mengambil daripada rahsia firman Allah SWT “Katakanlah jika engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah.” 

Thursday, May 19, 2016

Kesedihan Nabi SAW

Kesedihan Nabi SAW
  • Kekasih kita Nabi Muhammad SAW sentiasa di dalam kesedihan, dan Baginda SAW telah melalui sebahagian ujian dan rintangan. Baginda juga berpisah dengan ramai orang yang dikasihinya.
  • Maka bagaimana kesedihannya dan bagaimana Baginda menguruskan kesedihanNya. Pada sifatnya, Baginda SAW sentiasa di dalam kesedihan.
  • Namun beliau tidak menyembunyikan kegembiraanya dan keseronokannya daripada para sahabatnya.
  • Sentiasa bersedih kerana Baginda banyak kerisauan untuk umatnya. Baginda mahukan kebaikan bagi umatnya, namun ramai yang melarikan diri darinya, kerana tidak mengenali Baginda dan kebaikan yang dibawanya.
  • Maka Baginda SAW bersedih disebabkan mereka. Satu jenazah telah diangkat pada ketika Nabi SAW sedang duduk, maka apabila Nabi melihatnya, Baginda pun menangis, jenazah itu ialah jenazah seorang yahudi yang mati dalam kekufuran. Maka Nabi SAW telah menangis, Baginda ditanya, “Apa yang engkau tangisi wahai Rasulullah?, Baginda menjawab, “Jiwa yang baru ditunjukkan kepadaku akan ke neraka. Baginda sangat bersedih atas perkara ini.
  • Nabi SAW bersabda “Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaanya adalah kebaikan dan ini hanya ada pada seorang mukmin : jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya”.
  • Nabi SAW merupakan orang yang paling banyak berpisah dengan orang kesayangannya di dunia ini. Baginda telah berpisah dengan isterinya Khadijah, iaitu kekasihnya dan orang yang banyak berkorban untuknya dengan diri dan hartanya.
  • Baginda juga telah berpisah dengan orang yang banyak menyokongnya, iaitu pakciknya Abu Talib. Maka tahun tersebut telah dinamakan “Tahun kesedihan”.
  • Begitu juga dengan kematian anak-anak lelaki Baginda Qasim, Abdullah dan Ibrahim serta anak-anak perempuannya, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kulthum. Mereka semua telah ditimpa penyakit dan meninggal dunia.
  • Maka Nabi SAW telah mengebumikan mereka dengan tangan Baginda sendiri. Apabila anaknya Ibrahim meninggal dunia, Nabi SAW telah menangis dan bergenang air matanya. Maka seorang budak lelaki telah melihatnya dan bertanya, “Ya Rasulullah, engkau juga menangis?” Baginda bersabda, “Sesungguhnya mata menangis, dan hati berasa sedih, dan tidaklah kita mengatakan sesuatu melainkan yang diredhai Allah. Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahan dengan Ibrahim.
  • Beginilah hal Nabi SAW ketika Baginda bersedih dengan kematian orang-orang yang tersayang. Nabi Yaaqub telah berkata : Sesungguhnya aku meluahkan dukacita dan kesedihanku kepada Allah.
  • Nabi SAW menolong mereka yang sedang bersedih. Baginda meredakan kesedihan sehinggakan kepada kanak-kanak. Apabila Baginda mendatangi seorang budak yang baru kematian burungnya, budak itu sangat sedih dengan kematian burungnya, maka Baginda SAW menenangkannya, dan berkata “Wahai Ayah Umair, apa yang sedang Nughair lakukan?”. Baginda berkata begitu kerana ingin meredakan kesedihan dan melupakan ia darinya, serta menampakkan musibah itu kecil buat kanak-kanak itu.
  • Nabi SAW mengajar kita semasa bersedih, agar mengembalikan segala perkara kepada Allah. Seperti dalam firman Allah, “Dan berilah berita gembira kepada mereka yang bersabar, iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah tempat kami kembali.” Ini merupakan ucapan orang-orang yang sabar “Inna Lillahi wainna ilaihi raaji’un”.
  • Antara sifat Baginda SAW apabila terlalu bersedih atau gelisah, Baginda SAW menyapu kepala dan janggutnya, lalu mengatakan “Hasbiyallah / Hasbunallah wani’mal wakil” (Cukuplah Allah sebagai penolongku / kami).
  • Baginda SAW bersabda kepada Ummi Salamah semasa kematian suaminya, “Katakanlah, Ya Allah, berilah pahala di dalam musibahku, dan gantikanlah bagiku sesuatu yang baik darinya”. Maka Ummu Salamah tidak menjumpai seseorang yang lebih baik dari Abu Salamah, namun Allah menggantikan baginya Rasulullah SAW dan beliau telah menjadi Ummul Mu’minin.
  • Nabi SAW mengajarkan kita suatu doa yang hebat dan ia merupakan intipati penting untuk dipelajari dari pelajaran ini justeru menghafalnya. Nabi SAW bersabda, “Tidaklah seseorang ditimpa musibah, kerunsingan dan kesedihan maka dia mengucapkan, “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku” kecuali Allah akan menghilangkan kerisauan dan kesedihannya dan melapangkan baginya. Sahabat bertanya, “Perlukah kami mempelajarinya?” Bahkan, bagi sesiapa yang mendengarnya mestilah dia mempelajarinya. Jadi sekarang kamu sudah mendengarnya, maka kamu mesti mempelajarinya seperti sabdaan Nabi SAW. Inilah doa yang agung yang perlu dilafazkan semasa ditimpa kesedihan.
  •  Setiap perkara ada penawarnya, Bagi kesedihan juga ada penawarnya. Antara penawar semulajadi bagi kesedihan yang telah diajarkan oleh Nabi ialah “Talbinah”. Talbinah ialah minuman daripada gandum, ia dimasak sehingga putih kemudian diminum. Maka ia dipanggil “Talbinah” kerana ia menyerupai susu. Maka Nabi SAW memberitahu bahawa ia memberikan ketenangan kepada hati dari kesedihan dan kerisauan. Ini merupakan antara penawar yang diberitahu oleh Nabi SAW.
  • Antara perkara yang dipentingkan Nabi SAW ketika kesedihan ialah larangan melanggar batas-batas syariat seperti  menjerit, tangisan yang melampau, mengoyakkan pakaian, menampar wajah, begitu juga meratap dan menyebut kata-kata yang tidak beradab dengan Allah SWT. Hal ini semakin banyak dilakukan oleh manusia dan Nabi SAW keras melarang hal ini.
  • Setiap orang yang ditimpa musibah di dunia perlulah memikirkan tentang perpisahannya dengan Rasulullah SAW. Tiada musibah yang paling besar melainkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW di dunia ini. Justeru ingatan ini akan menyedarkan kita akan hubungan kita dengan Rasulullah SAW di dalam kesedihan dan seluruh aspek kehidupan kita. Maka ini merupakan makna yang tersurat dan tersirat dari firman Allah SWT “Katakanlah sekiranya engkau mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya engkau dicintai Allah SWT.”
http://www.fattabiouni.com/category/videos/ 

Sunday, May 15, 2016

Sunnah Diam


Sunnah Diam
  • Antara seni yang perlu dipelajari oleh seseorang ialah seni percakapan. Lawan bagi seni percakapan ialah seni yang kedua iaitu seni berdiam diri.
  • “Bagaimana saya belajar kemahiran berdiam diri dan mampu melakukannya?”
  • Bagaimana Nabi SAW di dalam kebanyakan waktunya, Baginda SAW berdiam diri.
  • Diam Baginda SAW adalah berfikir / merenung (ke dalam diri).
  • Para sahabat menyifatkan sifat Baginda SAW ini dengan begitu menakjubkan yang mana ramai orang melalaikan hal ini.
  • Baginda SAW menegah lidahnya dari berkata-kata kecuali pada perkara yang bermanfaat kepada orang lain”
  • Perkataan “menegah lidahnya” membawa makna bahawa Baginda SAW menahan lidahnya, Baginda SAW juga tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya, kecuali ianya adalah wahyu yang diturunkan ke atas Baginda SAW.
  • Faedah terbesar berdiam diri ialah karisma, kehormatan dan membangkitkan hikmah di dalam diri.
  • Semakin banyak seseorang itu diam semakin bertambah hikmah di dalam dirinya.
  • Perhatikan ramai cerdik pandai di alam ini mereka sedikit bercakap tetapi kata-kata mereka tepat dan padat.
  • Nabi SAW bersabda “Allah SWT merahmati seseorang yang apabila dia bercakap dia memperoleh kebaikan dan apabila dia diam dia selamat”.
  • Berdiam diri sentiasa memberikan keselamatan. Diam memberikan manfaat kepada manusia dan menyelamatkan dirinya dari berlaku banyak perkara.
  • Oleh sebab itu, Nabi SAW semasa malam Mikraj, Baginda SAW telah melihat sebuah peristiwa yang menakjubkan.
  • Gambaran yang mana apabila seseorang membayangkannya pasti dia akan memperhatikan kata-katanya.
  • Terutama pada hari ini, kita mempunyai teknologi dengan aplikasi yang boleh merekod kata-kata kita dan seluruh dunia boleh menyaksikannya.
  • Semasa peristiwa Mikraj, Baginda SAW melihat seekor lembu besar keluar dari lubang yang kecil, kemudian lembu itu ingin masuk kembali ke dalam lubang itu tetapi tidak berjaya. Baginda SAW bersabda, “Wahai Jibril apakah makna semua ini?” Jibril menjawab: “Ini ibarat seseorang yang mengeluarkan satu perkataan dan ingin menariknya kembali, tetapi dia tidak mampu maka dia pun menyesal.”
  • Apabila seseorang berbicara, dia boleh berkata perkara yang tidak baik tentang orang lain dan menambah-nambah perkara yang tidak sepatutnya. Dia boleh bercakap akan sesuatu dan tersebar ke seluruh dunia. Tersebar dari seorang ke seorang dan kepada seluruh dunia dan hal ini bermula dari seorang, dan Allah SWT akan mempertanggungjawabkan perkara ini ke atasnya.
  • Situasi kita pada hari ini ialah seseorang itu bercakap kerana dia memang suka bercakap, Bukan berkata-kata untuk menyampaikan perkara yang bermanfaat, akan tetapi selagi kita duduk, marilah kita bercakap. Perhatikan contohnya seseorang duduk dengan sekumpulan manusia, kemudian bercakap tentang semua topik dan kemudian semua orang hendak bercakap sehinggakan kadang-kadang, tidak tahu siapa yang bercakap dan siapa yang mendengar kerana semua yang ada bercakap.
  • Bercakap telah menjadi keinginan apabila topik politik disebut semua orang bercakap tentangnya. Begitu juga topik ekonomi, topik agama, topik perubatan, astronomi, bahkan semua topik yang ada di dunia ini!.
  • Kamu mendapati orang bercakap tentang semua perkara. Jika seseorang membayangkan, jika dituliskan semua perkataan diucapkan dalam sehari dari pagi sehingga tidur semua perkataan dituliskan sehingga menjadi sebuah buku yang lengkap.
  • Bagaimana jika dia membayangkan apabila buku itu lalu merasa malu akan dirinya sendiri. Apakah semua perkataan yang sia-sia yang aku cakap sepanjang hari ini.
  • Dan semua perkataan itu memang dicatatkan. Tiada perkataan yang dilafazkan kecuali ianya dicatatkan oleh Raqib dan ‘Atid. Malaikat mencatat semua perkataan yang dilafazkan dalam sehari sehingga kamu tidur dan ianya dipersembahkan kepada Allah SWT.
  • Bagaimana kamu boleh redha melihat banyak perkataan yang sia-sia ini dipersembahkan kepada Tuhanmu?
  • Antara bahaya kata-kata ialah seperti yang disabdakan Nabi SAW : Apabila seseorang hamba berbicara satu perkataan yang diredhai oleh Allah, maka darjatnya akan ditinggikan disebabkan perkataan tersebut, Hanya satu perkataan! Dan sebaliknya, satu perkataan yang dikatakan seorang hamba yang membawa kepada murka Allah SWT, maka dengannya dia dicampakkan ke neraka. Kita berlindung kepada Allah SWT darinya.
  • Di dalam sebuah riwayat lain: “Orang yang duduk di sekelilingnya ketawa (kerana kata-katanya)” oleh sebab itu, setiap orang perlu memperhatikan perkataanya. Setiap sifat memerlukan kepada latihan.
  • Abu Darda (ra) seorang sahabat yang hebat, pernah berkata, “Kami belajar untuk diam seperti kami belajar untuk bercakap”.
  • Seperti mana seseorang itu belajar bercakap, begitu jugalah dia perlu belajar untuk diam. Belajarlah bagaimana menahan dirinya dari bercakap. Sekiranya seseorang itu melatih dirinya dan mengatakan, “Hari ini, aku akan bercakap perkara yang penting sahaja”.
  • Hari ini, aku berdiam diri sepanjang hari. “Sesungguhnya aku sudah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pengasih, maka aku tidak akan berbicara dengan sesiapa pun pada hari ini” –Maryam:26.
  • Seseorang itu perlu melatih dirinya sehingga ini menjadi sebab utama dia dapat mengawal dirinya, dan dalam meneladani Nabi SAW